Tuesday, April 14, 2009

Isu PPSMI - Mahu Mansuh atau Pinda?

passport-2008-2.jpg Isu PPSMI adalah isu pendidikan yang paling hangat masa kini.

Pada dasarnya saya berada 75 peratus bersama arus penentangan terhadap dasar tersebut.

Benar, ini bukan isu kecil untuk diputuskan sesedap rasa, sesuka hati.Isu PPSMI adalah isu masa depan anak bangsa.Mereka akan menghukum kita jika tindakan kita hari ini mampu ‘membunuh’ dan melemahkan mereka.

Namun, pada hemat saya gesaan agar PPSMI dimansuhkan sepenuhnya adalah kurang tepat dan tidak bersifat cermat.Pemansuhan sepenuhnya terhadap dasar tersebut sebenarnya suatu pembaziran yang amat besar terhadap perbelanjaan yang kita telah lakukan.

Terlalu besar jumlah peruntukkan RM5 billion yang digunakan untuk dasar tersebut.Bukan sekadar kerajaan yang kerugian, malahan syarikat-syarikat swasta berkaitan juga akan turut sama terjejas.

Mungkin ada yang bertanya, mahukah kita rugi RM5 bilion tersebut atau mahukah kita rugi masa depan anak bangsa yang bakal gelap gelita lantaran dasar yang membunuh.

Jawapan saya, saya tidak mahu kerugian kedua-duanya.

Saya lebih cenderung agar dasar dipinda tersebut yakni dengan pengubahan (adjustment) yang besar dan signifikan.

Pertamanya, mansuhkan pengajaran tersebut dalam mata pelajaran Sains namun kekalkan dalam mata pelajaran Matematik.

Rasionalnya, Matematik bukanlah mata pelajaran yang banyak menggunakan istilah sebaliknya ia banyak bermain dengan angka.Oleh itu,perlaksanaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Matematik pasti tidak akan menjejaskan pelajar.

Keduanya, segmentasi perlaksanaan perlu dibuat agar pelajar di luar bandar dan bandar mampu mengikuti dasar tersebut tanpa wujud keciciran yang besar.

Hal ini demikian kerana, dasar tersebut tidak terlalu menyukarkan pelajar di bandar berbanding luar bandar lantaran sikap dan asuhan mereka yang dibiasakan dengan bahasa Inggeris semenjak kecil.

Kerajaan boleh melaksanakan penggunaan bahasa yang lebih fleksibel di kawasan-kawasan luar bandar.Guru-guru boleh menggunakan bahasa Melayu jika pelajar mengalami kesukaran dalam sesuatu keadaan.

Hakikatnya, dasar PPSMI juga sebenarnya ada kebaikan, namun kita perlu bijak membuat ‘adjustment’ agar perlaksanaannya mampu mencapai maksud.

Mohd Hasbie Muda
Presiden ECONS

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home